Friday, June 12, 2009

Apelah sangat kerja di lebri?

Soalan yang selalu mengundang jawapan tanpa membawa sebarang maksud. Soalan yang sentiasa meruntuhkan semangat mereka yang menyandang jawatan Pembantu Perpustakaan. Kata mereka, pembantu perpustakaan bukannya ada kerja sangat, duduk di kaunter dan menyusun buku sahaja. Naratif ceritanya masih bergerak dalam bentuk yang klise. Watak putih menentang watak hitam. Watak hitam semestinya terlebih dahulu mempunyai kuasa yang super berbanding watak putih dan watak putih akhirnya menang. Macam cerita Ultraman. Polemik yang tidak berkesudahan.




Dalam permainan bola sepak, penendang tepi atau sidekick adalah merujuk kepada orang yang kedua menjadi hero. Seperti Robin dalam cerita Batman & Robin, tugas penendang tepi ialah membantu hero dalam memerangi orang jahat. Hero dan penendang tepi akan saling bekerjasama. Meskipun masih berwatak hero, tidak ramai yang gemarkan peranan sebagai penendang tepi kerana publisitinya kurang terserlah. Hero mestilah orang yang paling hebat. Penendang tepi mestilah orang yang sedikit kurang hebat. Walaubagaimanapun peranan penendang tepi ini tidak boleh dinafikan.



Mereka yang bergelar penendang tepi dapat merasakan kurang popular tetapi berjasa. Sedikit sumbangan yang diberi tetapi membantu banyak pihak. Walaupun begitu, ini bukanlah tugas yang senang. Di dalam pengurusan Perpustakaan juga memerlukan hero dan penendang tepinya iaitu Pembantu Perpustakaan. Kerjaya sebagai pembantu perpustakaan yang bekerja di kelilingi timbunan buku sedikit sebanyak membantu dalam mengorientasikan perkhidmatan sesebuah Perpustakaan. Watak hitam yang mempunyai kuasa super ini seringkali disalah anggap oleh pengguna.



Khususnya tugas pembantu perpustakaan merangkumi pengorganisasian bahan perpustakaan, menjalankan proses pendaftaran pengguna, menguruskan peminjaman dan pemulangan bahan disamping merekodkan transaksi. Kerjaya ini tidak dipandang ringan kerana pembantu perpustakaan juga perlu berkemahiran dalam Sistem Perpustakaan sekaligus memandu pengguna dalam mendapatkan maklumat. Itulah watak hitam yang kurang mendapat perhatian dan penghargaan. Bidang tugas yang dipertanggungjawabkan ini memerlukan mereka berfikir secara global dalam dunia Perpustakaan itu sendiri supaya mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik selari dengan wawasan dalam memartabatkan kecemerlangan ilmu dan insan. Namun disebalik itu, watak hitam ini penting dalam mewujudkan perkhidmatan berkualiti yang memuaskan dan lazimnya melebihi kehendak dan harapan pengguna Perpustakaan.



Selain itu, pembantu perpustakaan juga perlu sentiasa memaksimumkan pengetahuan mereka terhadap aplikasi OPAC, pelbagai sistem perpustakaan, pangkalan data atas talian serta kaedah indeks dan abstrak. Ini menjelaskan bahawa tugas sebagai pembantu perpustakaan bukan hanya sekadar menyusun buku dan bukan hanya sekadar duduk di kaunter sahaja ibarat melukut di tepian gantang.



Wajarlah bagi kita untuk menukar corak pemikiran terhadap budaya kerja yang lebih produktif. Mungkin dengan cara membuat anjakan paradigma dalam pemikiran supaya tidak menjadi seperti tikus yang membaiki labu. Kita perlu sentiasa melahirkan idea yang bernas, kreatif dan inovasi selain berlumba-lumba dalam memajukan diri dalam era digital ini. Sifat yang positif dan terkehadapan perlu disemai supaya watak penendang tepi tidak selamanya menjadi penendang tepi. Kata orang, kalau tidak dipecahkan ruyung mana dapat sagunya. Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling banyak membawa manfaat kepada orang lain. Menurut sebuah petikan hadis yang bermaksud “Allah akan menolong hambaNya, selagi hambaNya berusaha menolong saudaranya”. Selamat bekerja!