Friday, June 09, 2006

Rambutan..rambutan

budak-budak zaman sekarang hanya tahu ABC.kalau bukan kerana yang menuturkannya ialah orang tua, tindakan mereka yang menegur perbuatan aku dan rakan-rakan menjemur rambutan untuk menghalau semut yang mengerumuni pasti akan disusuli dengan pelempang.

aku tidak pasti idea siapakah ini tetapi menjemur rambutan yang dikerumi semut adalah sedikit masuk akal untuk menghalau semut. tetapi orang tua itu tidak berpendapat begitu. orang petik dengan tangkai-tangkai sekali. kalau macam ni, paling lama pun boleh tahan dua hari aje.aku dan rakan-rakan hanya memerhatikan sahaja rambutan tanpa tangkai yang berlonggok di atas simen. mungkin itulah sebabnya kenapa rambutan yang dijual di tepi jalan itu bertangkai - rambutan tanpa tangkai tahan lebih lama.walaupun seterusnya masih ada lagi ayat-ayat pemedih telinga dari mulut orang tua ini, aku dan rakan-rakan harus mengakui bahawa orang tua itu datang dari generasi yang berbeza.

mungkin di zaman orang tua ini bersekolah, orang tak peduli sangat dengan peratus yang gagal. orang hanya nak ramaikan orang yang pegi sekolah. selebihnya dihabiskan dengan membuat kerja-kerja kemahiran hidup - bertukang, bercucuk tanam dan bersembang. belajar tak pandai pun tak apa asalkan boleh buat kerja.mungkin juga di zaman itu orang berpakat nak halau Inggeris. orang di zaman itu kenal Inggeris sebagai penjajah. mereka mungkin juga belum kenal tulisan rumi. rata-ratanya semua tahu menulis dan membaca jawi. barangkali di zaman itu mereka tidak peduli dengan teknologi kerana mereka reti buat sendiri.tapi aku dan rakan-rakan dari generasi yang lain.di zaman ini, orang ambik peduli sangat dengan keputusan periksa. takdak orang melayu dapat pangkat satu pun jadik isu besar. boleh tak boleh buat kerja bila dah habis belajar nanti itu soal lain. yang penting mesti ramai dapat pangkat satu, mesti takdak orang gagal.kalau dulu mereka halau Inggeris, sekarang kita panggil semula Inggeris. di zaman ini kita tidak panggil Inggeris sebagai penjajah. kita panggil Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. kita panggil Inggeris penting. berapa kerat sahaja yang boleh baca jawi - nak baca Quran pun tergagap.

kita peka kepada teknologi jadi kita bawa teknologi dan belajar teknologi - tapi kita jarang nak buat sendiri.tapi bila orang generasi baru ini tidak tahu cara yang betul untuk memetik rambutan, ia tiada kaitan dengan jurang generasi rambutan dah ada sejak zaman dulu lagi. kalau orang zaman dulu tahu cara memetik rambutan dengan betul, bukan salah orang zaman sekarang kalau mereka tak tahu cara memetik rambutan dengan betul. orang zaman sekarang wujud sebab ada orang zaman dulu. jika ada apa-apa yang orang zaman dulu tahu tapi orang sekarang tak tahu, ini adalah kerana orang zaman dulu tak turunkan apa-apa yang mereka tahu. mereka membiarkan orang zaman sekarang bina generasi sendiri.jadi bukan salah kita juga kalau kita sekarang hanya tahu ABC!

Thursday, April 20, 2006

Tikus yang membaiki labu

kadang-kadang kita tak nak jadi macam tikus yang membaiki labu.sebab tu kita tak berani buat apa yang kita tak tahu. kita takut kalau kita cuba-cuba nak buat sesuatu yang kita tak tahu, kita akan merosakkan lagi benda tu. kita takut kalau kita cuba-cuba nak buat sesuatu yang kita tak tahu, benda yang elok-elok tak rosak jadi rosak.kadang-kadang kita tak nak jadi kambing hitam.kita bukan manusia ajaib yang tahu serba-serbi. tapi orang akan menyuruh kita buat macam-macam kerja - antaranya kerja yang di luar kemahiran kita. kita tak nak buat tapi disuruh buat. tapi bila apa yang kita buat tu silap, kita yang kena marah.

sebab itu kalau boleh kita tidak mahu dipertanggungjawabkan untuk apa-apa kerja yang kita disuruh buat.kadang-kadang kita mahu jadi katak yang duduk di bawah tempurung.buat apa susah-susah nak ambik tahu apa yang di luar? apa yang hebatnya di luar itu yang ada kaitan dengan kita?

banyak benda adalah lebih baik kita tidak tahu daripada tahu. lagipun kita lebih selesa dengan kita yang ada sekarang - tidak mahu lebih, tidak mahu kurang. kita tidak mahu ambil peduli dengan benda-benda yang lain.kita ada banyak sebab untuk menolak apabila disuruh buat kerja yang kita tak tahu. sebab itu kita lebih senang cakap 'saya tak tahu buat kerja ni'. maka kita akan terselamat daripada menjadi tikus yang membaiki labu dan terselamat daripada di'kambing hitam'kan kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini. maka jadilah kita katak di bawah tempurung.sebenarnya kita sudah terlepas peluang untuk belajar apabila kita kata tak tahu. kata orang, kalau tak dipecahkan ruyung mana dapat sagunya.

pasang hardware, buat backup dan restore dari backup tape, import data, install network printer - semuanya pun asalnya aku cakap tak tahu. semuanya bermula dengan sebuah sistem yang sedang digunapakai dengan jayanya hendak dipindahkan ke tempat baru supaya lebih selamat. teorinya mudah. salin sahaja semua fail ke dalam yang baru. tapi nak buatnya susah. pertamanya kerana sistem ini tak nampak dengan nyata. dan keduanya, yang nak memindahkannya adalah 'tikus yang nak baiki labu'.sebelum ini aku hanya melihat orang lain bersituasi demikian. dialah yang membuat semua benda - aku hanya tengok dan mencabut skru. sehinggalah pada suatu hari, aku dipindahkan unit dan tugasan sebegini kemudiannya diserahkan kepada aku.

kata bos, 'takkan kerja ni pun awak tak boleh buat?' nak je aku kata 'saya tidak tahu' tapi tiada siapa yang boleh menggantikan aku?.. nak tak nak kena buat juga. maka terjadilah adegan cucuk-mencucuk wayar, klik-menklik, install-menginstall dan cabut-mencabut casing CPU.belajar tidak semestinya dengan masuk sekolah atau universiti. ini juga namanya belajar. cuma caranya susah sikit. sebab 'guru' kita ialah kesilapan kita sendiri, buku rujukan dan artikel di internet. kita akan banyak buat silap, tapi kita akan cepat dapat betulkan balik apa yang silap. kita akan jumpa banyak benda yang kita tak tahu, tapi lepas ni kita sudah boleh jadi pakar!

kerja-kerja 'membaiki labu' dapat disiapkan. ketika itu aku pun tak tahu bagaimana ia boleh siap. asalkan selesai dan berfungsi, kerja aku kiranya dah habis. semua orang bahagia, semua orang balik rumah. cuma aku seorang yang balik sebagai seorang yang pernah pasang hard disk, buat backup dan restore dari backup tape, import data, install network printer lain kali kalau ada orang suruh buat kerja yang anda tak pernah buat, jangan kata tak tahu. cakap 'saya cuba dulu' dan lihatlah perubahannya kepada diri anda.