Saturday, December 22, 2007

Akhirnya kita akan tahu juga berenang

cuba bayangkan kita secara tiba-tiba dicampak ke laut oleh kapten kapal. sedang kita masih terkapai-kapai mencari udara, kapten kapal itu mencampakkan sebiji wisel, menghidupkan enjin kapal dan perlahan-lahan berlalu meninggalkan kita. dan kita pada ketika itu langsung tidak tahu berenang.dalam situasi itu barangkali kita panik. kita tidak tahu apa hendak dibuat. di kiri laut, di kanan laut, di depan laut, di belakang juga laut.

ketika masih sedang bergelut untuk terapung, kita mengambil wisel itu dan meniupnya sekuat-kuat hati. malangnya, tidak ada sesiapa yang datang menolong.ketika itulah kita menjadi emosional. barangkali kita akan menangis. kita tidak tahu berenang, kita sudah meniup wisel tetapi tiada siapa yang boleh mendengarnya. dan kita boleh lemas dalam beberapa ketika lagi. barangkali kita akan marah. kita marah kepada kapten kapal yang entah apa alasannya mencampakkan kita ke laut. kita marah kepada diri sendiri kerana kita tidak pernah mahu belajar berenang.

barangkali kita mati akal. kita sangkakan kita akan mati tanpa kubur di laut yang terbentang luas ini. dan kita mahu pejamkan mata dan biarkan ianya berakhir dengan segera.tetapi entah macam mana, kita masih lagi terapung-apung; walaupun terteguk air laut yang masin itu entah berapa kali. kita kesejukan; badan menggeletar dan gigi dikacip rapat. kita keletihan; mata sudah hampir tertutup, perut kita kelaparan. secara tiba-tiba kita berkata kepada diri sendiri: 'saya masih belum mahu mati lagi'.

kemudian kita membayangkan orang berenang seperti yang kita pernah lihat di televisyen. kita pun cuba menirunya. kita mengerah semua tenaga yang masih ada untuk cuba berenang. semakin lama, kita sudah semakin jauh. semakin lama, semakin jauh.dan tiba-tiba di hadapan kita terpacak kapal yang kita naiki tadi dengan kapten kapal berdiri di hujungnya sambil tersenyum. dihulurkannya pelampung dan perlahan-lahan menarik kita ke kapal. kita masih marah, kita masih sedih dan kita mahu menghamburkan semuanya kepadanya. tetapi dia dengan tersenyum berkata : 'akhirnya awak tahu juga berenang'.

barangkali itulah kaedahnya bos aku melatih pekerjanya untuk melakukan sesuatu tugasan yang di luar kemahiran. mungkin di tempat lain, pekerjanya akan dihantar untuk menghadiri latihan, atau diletakkan di bawah tunjuk ajar mereka-mereka yang berpengalaman. tetapi di tempat aku bekerja ini, kaedahnya lebih menjurus kepada: 'pandai-pandailah kau buat sendiri'. satu hari aku diberi tugas yang tidak pernah aku buat. ketika cuba mendapatkan bantuan atau nasihat 'pakar', barulah aku tahu kenapa aku yang disuruh bos - pekerja lain sibuk dengan urusan masing-masing. aku cuba meminta pertolongan seorang pekerja tetapi dia juga sibuk. kalau semua orang sibuk, maknanya aku diberi kerja ini kerana aku tidak ada kerja untuk dibuat. seolah-olah bos mahu berkata: 'daripada kau duduk sahaja main internet, baik kau pergi buat kerja ni'.dan pergilah aku cuba membuat tugasan itu dengan sedikit kecewa kerana tidak ada orang yang boleh menolong.

sebenarnya ia tidaklah sesusah mana. kalau sebelum ini sudah ada orang yang berjaya membuatnya, maknanya ia memang boleh dibuat. cuma kita sahaja yang tidak yakin atau pun 'bodoh sombong'. kalau kita 'bengap' sangat pun, anggaplah sahaja seperti kita bermain permainan lego - kalau boleh masuk, sumbat. kalau tidak boleh masuk, cuba di tempat lain. dan pada petangnya, aku sudah boleh berbangga dengan kejayaan aku itu. elok sahaja tugasan selesai, bos pun bertanyakan status. dan barangkali dia gembira, kerana 'kaedah latihan'nya berjaya - tanpa perlu mengeluarkan wang. barangkali inilah juga yang boleh memberi kejayaan ke dalam hidup kita - kalau kita tidak mencuba, kita tidak akan tahu hasilnya. dan yang keduanya, walaupun tidak mempunyai guru atau tidak bersekolah tinggi, kita masih punya otak dan diri kita sendiri - kita juga boleh berjaya kalau kita menggunakan keduanya.

*jangan kerja kuat, kerjalah dengan bijaksana:)