Friday, June 09, 2006

Rambutan..rambutan

budak-budak zaman sekarang hanya tahu ABC.kalau bukan kerana yang menuturkannya ialah orang tua, tindakan mereka yang menegur perbuatan aku dan rakan-rakan menjemur rambutan untuk menghalau semut yang mengerumuni pasti akan disusuli dengan pelempang.

aku tidak pasti idea siapakah ini tetapi menjemur rambutan yang dikerumi semut adalah sedikit masuk akal untuk menghalau semut. tetapi orang tua itu tidak berpendapat begitu. orang petik dengan tangkai-tangkai sekali. kalau macam ni, paling lama pun boleh tahan dua hari aje.aku dan rakan-rakan hanya memerhatikan sahaja rambutan tanpa tangkai yang berlonggok di atas simen. mungkin itulah sebabnya kenapa rambutan yang dijual di tepi jalan itu bertangkai - rambutan tanpa tangkai tahan lebih lama.walaupun seterusnya masih ada lagi ayat-ayat pemedih telinga dari mulut orang tua ini, aku dan rakan-rakan harus mengakui bahawa orang tua itu datang dari generasi yang berbeza.

mungkin di zaman orang tua ini bersekolah, orang tak peduli sangat dengan peratus yang gagal. orang hanya nak ramaikan orang yang pegi sekolah. selebihnya dihabiskan dengan membuat kerja-kerja kemahiran hidup - bertukang, bercucuk tanam dan bersembang. belajar tak pandai pun tak apa asalkan boleh buat kerja.mungkin juga di zaman itu orang berpakat nak halau Inggeris. orang di zaman itu kenal Inggeris sebagai penjajah. mereka mungkin juga belum kenal tulisan rumi. rata-ratanya semua tahu menulis dan membaca jawi. barangkali di zaman itu mereka tidak peduli dengan teknologi kerana mereka reti buat sendiri.tapi aku dan rakan-rakan dari generasi yang lain.di zaman ini, orang ambik peduli sangat dengan keputusan periksa. takdak orang melayu dapat pangkat satu pun jadik isu besar. boleh tak boleh buat kerja bila dah habis belajar nanti itu soal lain. yang penting mesti ramai dapat pangkat satu, mesti takdak orang gagal.kalau dulu mereka halau Inggeris, sekarang kita panggil semula Inggeris. di zaman ini kita tidak panggil Inggeris sebagai penjajah. kita panggil Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. kita panggil Inggeris penting. berapa kerat sahaja yang boleh baca jawi - nak baca Quran pun tergagap.

kita peka kepada teknologi jadi kita bawa teknologi dan belajar teknologi - tapi kita jarang nak buat sendiri.tapi bila orang generasi baru ini tidak tahu cara yang betul untuk memetik rambutan, ia tiada kaitan dengan jurang generasi rambutan dah ada sejak zaman dulu lagi. kalau orang zaman dulu tahu cara memetik rambutan dengan betul, bukan salah orang zaman sekarang kalau mereka tak tahu cara memetik rambutan dengan betul. orang zaman sekarang wujud sebab ada orang zaman dulu. jika ada apa-apa yang orang zaman dulu tahu tapi orang sekarang tak tahu, ini adalah kerana orang zaman dulu tak turunkan apa-apa yang mereka tahu. mereka membiarkan orang zaman sekarang bina generasi sendiri.jadi bukan salah kita juga kalau kita sekarang hanya tahu ABC!